Kes buli di sekolah merupakan isu yang memerlukan perhatian serius. Penting bagi ibu bapa dan guru untuk memainkan peranan aktif dalam mencegah dan menangani kes buli. Buli bukan hanya melibatkan kekerasan fizikal, tetapi juga percakapan lisan dan bahasa badan.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi mengenai insiden yang menimpa anak lelakinya berusia 11 tahun menjadi mangsa buli rakan-rakannya.
Anak kerap bawa bekalan makanan banyak
Menurut Farizal Radzali, dia menyedari anaknya kerap membawa bekalan makanan yang banyak ke sekolah, sedangkan anaknya itu bukanlah seorang yang kuat makan.
“Ada sekali tu dalam seminggu, roti hotdog yang kecik-kecik itu saja dia bawa buat bekal. Masuk minggu kedua dan ketiga, saya pula rasa muak tengok di bawa makanan yang sama. Lalu saya suruh ayahnya belikan nasi lemak pula.
“Dia punya menangis tak nak nasi lemak, nak roti hotdog itu juga. Sampai tak nak pergi sekolah. Dari situ saya dah mula rasa pelik, ada sesuatu yang tak kena,” katanya.
Keesokkan harinya, anaknya meminta dibelikan roti hotdog lebih. Jika sebelum ini dibekalkan tiga roti hotdog, kini dia mahukan lima roti hotdog.
Hal itu menambahkan rasa curiga Farizal yang kemudian mengambil keputusan untuk menyoal siasat anaknya. Setelah didesak, akhirnya terbongkarlah segala hal yang sebenar.
“Katanya tiga rakannya yang suruh bawa roti itu sebab diorang nak makan. Dan rakan dia kata, kalau dia tak bawa atau bawa kuih lain, diorang akan tolak dia dari tingkat dua.
“Saya agak terkejut dan rasa nak marah. Disebabkan kuih, diorang berani ugut anak saya. Saya terus menghubungi guru kelas. Namun respon yang diberikan tidak memuaskan hati,” katanya.
Bapa cekup rakan ugut anak
Farizal kemudian meminta suaminya datang ke sekolah anaknya pada waktu rehat untuk memerhatikan sama ada dakwaan anak mereka betul atau sebaliknya.
“Dari jauh suami saya nampak seorang murid datang dari belakang dan terus ambil kuih dari bekas makanan anak. Suami datang dan terus pegang tangan murid itu dan tanya kenapa ambil kuih anak kami. Dua lagi rakannya yang lain sempat lari.
“Ada seorang guru menyaksikan kejadian itu terus datang dan bertanya apa yang berlaku. Suami ceritakan semuanya, sehingga ke bahagian anak diugut ditolak dari tingkat dua, terbeliak mata dan terus marah.
“Katanya itu dah kategori ugut dan tidak boleh dibiarkan. Semua dipanggil berjumpa dengan PKHEM. Murid yang terlibat pun mengaku. Alhamdulillah cikgu sudah selesaikan hal itu,” katanya.
Tak boleh dibiarkan
Bagi sesetengah orang, apa yang berlaku itu mungkin perkara kecil atau remeh. Tetapi tanpa sedar, itulah titik permulaan berlakunya kes buli.
“‘Eleh benda kecik je pun’ – segalanya bermula dengan ayat ini, perkara akan berlarutan menjadi besar. Jika dibiarkan atau dipandang remeh, maka berlarutanlah ia (kes buli).
“Ini bukan tentang makanan, tetapi tentang ugutan yang dibuat oleh anak berusia 11 tahun. Mungkin mereka sekadar bergurau, tetapi jangan dibiasakan. Banyak lagi perkara lain yang boleh dibuat gurauan,” ujarnya.