Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pengulas makanan dikenali sebagai Jason mempertahankan haknya untuk memberikan ulasan jujur selepas dikritik kerana didakwa memberi penilaian terlalu telus hingga menjejaskan perniagaan peniaga.
Dalam satu video di akaun TikToknya semalam, Jason membalas kritikan seorang pengulas makanan lain yang mendakwa cara penilaiannya menyebabkan kedai kehilangan pelanggan. Individu itu juga mempersoalkan mengapa Jason memberikan penilaian terhadap makanan yang dirasakannya kurang menepati selera.
Pengguna berhak suarakan pendapat
Jason bagaimanapun menegaskan, setiap pengguna berhak menyuarakan pendapat mengenai makanan yang mereka beli.
“Saya sebagai pengguna, mereka sebagai peniaga. Hubungan kami sekadar urusan jual beli. Mereka ambil duit hasil titik peluh kita. Sebagai balasan, mereka beri makanan dan kita berhak memberi pendapat,” katanya.
Dia juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa ulasannya menyebabkan kedai kekurangan pelanggan, sebaliknya berpendapat jika makanan di sesebuah premis benar-benar sedap, orang tetap akan datang.
“Tak kisah sebesar mana pun platform saya, kalau saya kata tak sedap pada kedai yang sedap, saya bercakap sampai air liur kering pun tetap akan ada orang yang duduk makan di situ,” jelasnya.
Asyik beri ulasan positif, itu bukan ulasan tapi promosi
Jason turut mempertikaikan individu yang mengkritiknya tetapi dalam masa yang sama turut pergi mencuba makanan di tempat yang pernah dikunjunginya.
“Awak kata ikut selera awak tak sedap, tapi dalam komen awak setuju selera orang berbeza-beza. Kalau macam itu, kenapa awak pergi juga ke tempat yang saya pergi?” katanya.
Dia juga berpendapat pengulas makanan tidak semestinya memberi ulasan yang baik sepanjang masa kerana itu bukanlah konsep sebenar ulasan.
“Awak rasa setiap ulasan mesti positif? Kalau setiap kali saya perlu kata makanan itu sedap walaupun hakikatnya tidak, itu bukan lagi ulasan, itu sudah jadi promosi,” katanya lagi.
Usah guna taktik kotor untuk naikkan followers
Di akhir videonya, Jason menyatakan bahawa individu yang mengkritiknya sepatutnya memperbaiki kandungan mereka sendiri jika mahu menarik perhatian lebih ramai penonton.
“Kalau nak guna taktik ini untuk dapat lebih banyak pengikut atau tontonan, lebih baik perbaiki kualiti kandungan sendiri,” katanya.
Jason sebelum ini dikenali sebagai seorang pengulas makanan yang berani memberi ulasan jujur tanpa berselindung. Namun, pendekatan tersebut sering mengundang perdebatan dalam kalangan pengikut dan peniaga yang merasakan penilaiannya terlalu tegas.
‘Kaki review & kaki promo banyak beza’

‘Lagi suka review jujur’

‘Lagi percaya Jason dari Kaki Review’









