'Kalau mampu pakai telefon Xiaomi, jangan cuba pakai iPhone' - Penjawat awam diberitahu | The Reporter

‘Kalau mampu pakai telefon Xiaomi, jangan cuba pakai iPhone’ – Penjawat awam diberitahu

Ketua Setiausaha Negara menasihatkan penjawat awam agar bijak mengurus kewangan.
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kakitangan awam diingatkan agar tidak terbeban dengan hutang akibat gaya hidup mewah yang melebihi kemampuan sendiri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan bahawa faktor seperti tekanan sosial dan pengurusan kewangan yang lemah sering menjadi punca mereka terjerat dengan pinjaman berlebihan hingga bankrap.

Beliau memberi contoh bagaimana terdapat kakitangan awam yang cekap menguruskan jutaan ringgit dana kerajaan tetapi gagal mengawal perbelanjaan peribadi.

“Kalau kita mampu pakai telefon bimbit jenama Xiaomi, jangan cuba pakai jenama iPhone.

“Terdapat juga di kalangan kakitangan awam yang suka bermewah dari segi penampilan, sebagai contoh sekiranya mereka mampu memiliki kereta Perodua Myvi, janganlah cuba pakai Toyota Vios,,” katanya memetik laporan Harian Metro, Ahad, 9 Mac 2025.

Gaya hidup berlebihan punca kebankrapan

Menurutnya, peraturan perkhidmatan awam telah menetapkan had pinjaman tidak boleh melebihi 40 peratus daripada emolumen bulanan, kecuali untuk pembelian rumah dan menunaikan haji. Namun, ramai yang tetap berbelanja di luar kemampuan sehingga menjejaskan kewangan mereka.

Untuk menangani isu ini, beliau mengarahkan setiap ketua jabatan memastikan kakitangan yang menghadapi masalah kewangan mendapatkan bimbingan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Langkah ini penting supaya mereka dapat menstabilkan kewangan dan kekal fokus pada tugas.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk M Bakri Abd Majid, turut menyuarakan kebimbangan mengenai trend ‘menunjuk-nunjuk’ dalam kalangan anak muda yang menjadi punca mereka terjerat dalam masalah hutang dan akhirnya diisytiharkan bankrap.

Related Posts