Jurutera MBSA saman hospital, dakwa kecuaian hingga 2 kaki terpaksa dipotong - The Reporter

Jurutera MBSA saman hospital, dakwa kecuaian hingga 2 kaki terpaksa dipotong

Sumber Gambar : Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki memfailkan saman terhadap sebuah hospital terkemuka yang didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan beliau kehilangan kedua-dua kaki, lima tahun lalu.

Isman Ibrahim yang merupakan penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat tuntutan saman awal berjumlah RM55 juta.

Peguam bela Isman, Firhat Muhd Fikri Isman, memaklumkan prosiding terbabit sepatutnya untuk perbicaraan, namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guam.

“Tuntutan saman awal adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin termasuk mendapatkan kos sebenar bagi kaki palsu.

“Kita mahu anak guam menjalani kehidupan seperti biasa. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Isman berkongsikan kisah bagaimana insiden ini bermula.

“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama hingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pelbagai komplikasi lain timbul

Katanya lagi, selain pemotongan kedua-dua kaki dibuat hingga paras paha, dia juga perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah. Lagi menyedihkan, ketika kejadian berlaku, isterinya sedang hamil anak keempat.

“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan saya,” katanya.

Kecuaian pakar bedah hospital berkenaan juga katanya telah mengakibatkannya mengalami masalah sakit saraf.

“Tidur saya tidak lagi lena sejak lima tahun lalu. Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat.

“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Total
0
Share