Tindakan mulia seorang jururawat Melayu dikenali sebagai Nur Deena dari Hospital Seberang Jaya yang menyuapkan makanan kepada seorang pesakit berbangsa India menggunakan tangan sendiri telah meraih pujian ramai di media sosial.
Menerusi rakaman yang tular, Nur Deena dilihat menyuapkan makanan kepada pesakit berkenaan dengan penuh kelembutan dan kasih sayang, seolah-olah sedang menyuap bapa kandungnya sendiri. Detik berkenaan menyentuh hati netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai lambang kemanusiaan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Mengulas perkara itu, YB Senator Dr. Lingeshwaran Dato’ Seri R. Arunasalam dalam hantaran di TikTok tampil memuji dan mengucapkan tahniah kepada jururawat berkenaan atas sikap terpujinya.
“Tahniah kepada Jururawat Nur Deena Nadzhiefa binti Yaacob dari Hospital Seberang Jaya.
“Dalam saat manusia paling lemah, bukan bangsa yang dipandang, hanya kemanusiaan. Seorang jururawat Melayu menyuapkan makanan kepada seorang pesakit India. Tiada diskriminasi. Tiada beza warna kulit, agama atau latar belakang,” katanya.
Baca juga:
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
- ‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang
Menurut beliau, di atas katil hospital, semua insan adalah sama, individu yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan ihsan daripada mereka yang diberi amanah menjaga pesakit.
“Inilah wajah sebenar Malaysia. Senyap-senyap berbakti, tanpa kamera, tanpa pujian, hanya dengan hati,” ujar beliau lagi.
Tambahnya, pengorbanan dan keikhlasan para jururawat wajar dihargai kerana merekalah kekuatan kepada pesakit ketika berada dalam keadaan tidak berdaya.
“Terima kasih, jururawat. Kerana ketika kami tidak berdaya, andalah kekuatan kami,” katanya.








