Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dunia jualan bukan sekadar soal angka dan sasaran bulanan. Di sebalik setiap urus niaga, ada cerita tentang kesabaran, tekanan emosi serta usaha menutup jualan apabila berdepan pelanggan dengan pelbagai ragam dan jangkaan.
Bagi jurujual kereta, cabaran sebenar bukan hanya memujuk pelanggan membuat keputusan, tetapi mengurus harapan yang kadangkala terlalu tinggi. Ada permintaan yang munasabah, namun ada juga situasi yang meletakkan jurujual dalam dilema antara menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan realiti komisen yang terhad.
Situasi itu menjadi perhatian selepas satu hantaran tular di media sosial memaparkan luahan seorang jurujual kereta atau penasihat jualan (Sales Advisor) yang meminta pembeli agar tidak meminta terlalu banyak barangan percuma, terutama apabila pembelian dibuat menggunakan pinjaman penuh.
“Tolong jangan minta lebih-lebih untuk free gifts. Dahlah minta full loan. Apa yang SA bagi tu dah lebih dari cukup. Kadang SA keluar duit sendiri untuk awak. Commission jualan kereta bukan banyak.”
Baca juga:
- Pengakuan wanita terembat kain hospital sejak bersalin cetus kecaman netizen
- Ibu dedah anak OKU terpaksa berlutut ke kantin sekolah?
- Wanita persoal penjualan minuman keras secara terbuka di pasar raya
Luahan itu mencetuskan reaksi pelbagai dalam kalangan netizen, dengan sebahagian besar mengkritik pendekatan jurujual berkenaan. Ada yang menyifatkan rungutan tersebut tidak profesional dan seolah-olah menyalahkan pelanggan yang hanya meminta apa yang ditawarkan. Malah, ada netizen menyarankan agar jurujual yang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan mempertimbangkan kerjaya lain atau menolak jualan secara berhemah.
Sebahagian netizen turut mempersoalkan isu komisen, dengan mendakwa jurujual masih menerima gaji serta komisen lain termasuk pembiayaan, insurans dan aksesori tambahan. Permintaan barangan percuma pula dianggap perkara biasa dalam urusan jual beli kenderaan.
Namun, terdapat juga netizen yang mempertahankan jurujual. Ada netizen berpendapat perkhidmatan yang jujur, bertanggungjawab dan komited jauh lebih bernilai berbanding barangan percuma semata-mata. Bagi mereka, layanan selepas jualan yang baik akan lebih diingati pelanggan dalam jangka panjang.
Perdebatan ini akhirnya membuka perbincangan lebih luas tentang realiti tekanan kerja jurujual, batas profesionalisme dan sejauh mana permintaan pelanggan boleh dianggap wajar.
Pada pandangan anda, adakah permintaan barangan percuma itu satu hak pelanggan atau jurujual perlu lebih tegas mengurus jangkaan sejak awal?








