JPS ramal banjir landa 9 jajahan di Kelantan Ahad depan | The Reporter

JPS ramal banjir landa 9 jajahan di Kelantan Ahad depan

Sumber Gambar: Astro Awani

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sembilan jajahan di Kelantan diramalkan berkemungkinan berlaku banjir dalam tempoh tiga hari bermula Ahad depan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, jajahan yang terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

“Di jajahan Tumpat, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai (Sg) Golok, Sungai Kelantan, dan Sungai Pengkalan Nangka. Sementara di Pasir Mas, ia membabitkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.

“Di Kota Bharu pula ia membabitkan tiga lembangan sungai iaitu lembangan Sg Kelantan, lembangan Sg Pengkalan Datu dan lembangan Sg Semerak.

“Selain itu, di Pasir Puteh ia melibatkan lembangan Sg Kelantan dan lembangan Sg Semerak manakala bagi jajahan Bachok pula adalah lembangan Sg Kemasin dan lembangan Sg Semerak, manakala di Tanah Merah, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan,” katanya.

Sementara itu di Kuala Krai, banjir dijangka melibatkan lembangan Sg Kelantan, manakala di Jeli, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.

“JPS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan itu juga, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta untuk berwaspada dan sentiasa peka dengan arahan daripada pihak berkuasa.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts