Jovian Mandagie diisytihar muflis gagal bayar pinjaman RM5.28 Juta | The Reporter

Jovian Mandagie diisytihar muflis gagal bayar pinjaman RM5.28 Juta

Jovian Mandagie diisytihar muflis
Jovian gagal membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) daripada Cekap Air Sdn Bhd. Gambar: Mstar

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie hari ini diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) selepas gagal melunaskan pinjaman persahabatan (friendly loan) berjumlah RM5.28 juta daripada syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn Bhd.

Perintah muflis itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November tahun lalu.

Menurut petisyen itu, Jovian yang juga bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2023 dan telah melakukan perbuatan kebankrapan dalam tempoh enam bulan sebelum petisyen difailkan.

Peguam syarikat terbabit, Siti Nur Athirazatti Rohizad memaklumkan bahawa Jovian sebelum ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April 2023 untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air melalui penghakiman terus, namun gagal berbuat demikian.

Penghakiman terus adalah permohonan yang dibuat oleh plaintif bagi mendapatkan keputusan mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

Memetik laporan Berita Harian, Jovian kemudiannya memohon untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen tersebut, namun ditolak oleh mahkamah.

Difahamkan, saman terhadap Jovian difailkan pada 16 Mei 2023 selepas beliau gagal membayar pinjaman yang diberikan secara lisan pada 25 Februari 2022. Wang RM5 juta tersebut dikatakan dimasukkan ke akaun pelanggan firma guaman mewakili Jovian, dan firma itu turut mengesahkan penerimaannya.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus dijadualkan didengar pada 15 September ini.

Related Posts