Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas tewas kepada Diego Paez dalam ONE Fight Night 32 di Bangkok, jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali tampil meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir rakyat Malaysia yang dianggap hanya menyokong ketika menang, namun mudah mencemuh bila berlaku kekalahan.
Atlet berusia 18 tahun itu memuat naik kenyataan panjang di Instagram semalam, menegaskan bahawa beliau tidak mudah ‘koyak’ dengan komen negatif netizen, tetapi berasa malu dengan mentaliti rakyatnya sendiri.
“Kepada pembenci aku yang dari Malaysia, sebab koranglah negara kita tak boleh sampai ke tahap seterusnya. Korang jangan haraplah nak buat aku koyak dengan komen-komen bahalol korang. Tapi aku malu, malu dengan mentaliti sampah orang aku sendiri.”
Johan turut mendedahkan pengorbanan yang dilakukan demi negara termasuk mengeluarkan modal sendiri untuk persediaan bertanding, serta menanggung kecederaan selepas perlawanan.
“Aku umur 18 mengorbankan nyawa aku atas gelanggang demi mengangkat nama negara, pagi tadi aku bangun kaki sakit tak dapat nak jalan, kepala sakit. Modal aku sendiri pun keluar nak pastikan preparation aku tip top, tapi untuk apa?”
Beliau juga berkongsi latar belakang keluarganya yang penuh dengan khidmat kepada negara, termasuk datuknya, Tan Sri Ghazali Che Mat yang berkhidmat sebagai tentera, bapanya sebagai anggota polis dan adik-beradiknya yang juga mewakili negara di peringkat tertinggi.
“Datuk aku, Tan Sri Ghazali Che mat mempertaruhkan nyawanya sendiri demi negara ni. Bapak aku berkhidmat sebagai polis selama 25 tahun demi negara ini. Adik beradik aku semua wakil Malaysia di peringkat yang tertinggi, tapi untuk apa? Masa aku dekat atas bukan main, masa aku jatuh… keluar perangai sebenar rakyat kita.”
Johan tidak menolak ada yang menuduhnya berlagak dan mengejar glamor, tetapi dia menafikan tuduhan itu dengan sindiran pedas sambil menegaskan bahawa kejayaannya juga turut memberi tempias kepada mereka yang tidak dikenali.
“Korang cakap lah apa korang nak cakap, aku berlagak la, aku kejar glamour la apa la. Tapi korang jangan lupa, disebabkan aku yang usaha mengejar glamour, yang tak glamour pun boleh jadi glamour.”
Johan juga menyatakan bahawa mulai sekarang, dia hanya akan fokus pada penyokong sebenar dan menyeru rakyat supaya ubah mentaliti yang negatif.
“Bermula dari sekarang aku hanya mementingkan diri aku sendiri dan orang yang betul-betul support aku. Ubah lah mentality bangang ni. Malaysia boleh tapi rakyat dengki. Korang ingat aku akan koyak ke dengan apa yang korang cakap?
“Mentaliti kita berbeza. Sebab itu aku yang berlawan, engkau hanya sekadar penonton. Terima kasih semua.”








