Tular di media sosial satu paparan papan digital yang memaparkan unit pemilik rumah bersama jumlah tunggakan yuran penyelenggaraan sebanyak RM15,149.50. Kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Lembah Klang itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Paparan tersebut menunjukkan butiran jelas seperti nombor unit, jumlah tunggakan yang tinggi, dipercayai telah lama tertunggak bermula tarikh 31 Disember 2024.
Papan digital itu dipercayai digunakan oleh pihak pengurusan bangunan (Joint Management Body – JMB) untuk memberi amaran dan tekanan agar pembayaran dibuat segera.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh staywokeproperty itu, mereka menyeru kepada semua pemilik agar memainkan peranan demi kesejahteraan komuniti bersama.
“Yuran penyelenggaraan memastikan rumah kita selamat, bersih dan berfungsi dengan baik. Daripada lif yang berfungsi hinggalah ke koridor, semuanya memerlukan kos.
“Mari kita mainkan peranan kita demi kesejahteraan komuniti bersama,” katanya.
Walaupun dilihat paparan tersebut seolah mengaibkan pemilik, namun rata-rata netizen menyokong tindakan yang dibuat oleh pihak JMB.








