Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menegaskan ketiadaan lampu jalan bukan faktor utama nahas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di laluan Jeli-Gerik, sebaliknya kelajuan tidak munasabah dikenal pasti sebagai punca awal.
Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, siasatan di lokasi kejadian menunjukkan permukaan dan struktur jalan berada dalam keadaan baik tanpa kerosakan seperti lubang atau keretakan.
“Pemantauan terkini mendapati jalan tersebut dalam keadaan baik, lengkap dengan kemudahan keselamatan seperti penghadang jalan dan papan tanda ‘chevron’. Malah tiada lubang atau ‘pothole’ yang boleh menyumbang kepada nahas,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette, Selasa.
Menurut Zamri, laporan awal daripada polis menyebut kemalangan berlaku akibat kelajuan tidak munasabah oleh pemandu bas dan bukan berpunca daripada faktor pencahayaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menyatakan dalam sidang media bahawa laluan tersebut sememangnya gelap, berselekoh dan menurun, selain hanya terdapat pencahayaan berhampiran jambatan Pulau Banding.
JKR sahkan kajian forensik sedang dijalankan
Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan Bahagian Kejuruteraan Forensik Cawangan Jalan JKR Malaysia kini sedang menjalankan kajian teknikal lebih terperinci untuk melengkapkan laporan akhir.
Beliau turut menjelaskan laluan JRTB itu sedang dinaik taraf termasuk cadangan pemasangan sebanyak 385 unit lampu jalan solar.
“Tender projek itu telah ditutup dan dijangka dianugerahkan Julai ini. Ia termasuk kerja menurap semula dan penambahbaikan garisan jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya.








