Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pasangan suami isteri ditahan atas dakwaan melakukan penipuan pakej umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.
Menerusi kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penahanan tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang pekerja wanita syarikat swasta berusia 39 tahun yang mengalami kerugian RM11,000 setelah terkandas untuk mengerjakan umrah.
Susulan penahanan itu katanya, polis turut merampas beberapa komputer, pasport, serta dokumen-dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.
Hussein menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati syarikat berkenaan telah memulakan perniagaan sejak tahun 2022. Namun, pada Oktober 2024, syarikat itu berpindah ke sebuah premis tiga tingkat yang terletak di daerah Sepang, Selangor.
“Modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok Hejira mengenai pakej umrah. Mangsa kemudian berhubung dengan ejen yang dilantik oleh syarikat tersebut,” jelasnya.
Setakat ini, Polis Selangor telah menerima tujuh laporan polis membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM100,000.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan, terutamanya yang diiklankan melalui media sosial.
“Dapatkan pengesahan kesahihan syarikat tersebut terlebih dahulu dengan membuat semakan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” tambahnya.
Pengarah syarikat terbabit dilaporkan telah ditahan di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sekitar jam 6.45 petang semalam. Penahanan dibuat selepas suspek selesai mengadakan sidang media dan bertemu sebahagian jemaah umrah yang terkandas.
Lebih 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas apabila syarikat tersebut sering menunda tarikh keberangkatan ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan.
Sumber: Berita Harian








