Wanita kongsikan jasa Pak Lah pada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan | The Reporter

Wanita kongsikan jasa Pak Lah pada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan

Sumbangan Tun Abdullah Ahmad Badawi
Perubahan yang dibawakan oleh Tun Abdullah kepada SABK dikenang sehingga kini. Gambar: FB Galeri Tun Abdullah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemergian mantan Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah, meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat. Jasa dan sumbangan beliau dalam memperkasa sistem pendidikan, terutamanya sekolah agama, terus dikenang hingga ke hari ini.

Satu hantaran tular dari seorang wanita yang juga merupakan seorang penddik, Adawiyah Shaarani turut meraih perhatian. Melalui Facebook, beliau berkongsi kenangan zaman persekolahannya di sebuah sekolah agama rakyat.

Menurutnya, ketika berada di tingkatan satu dan dua, makanan di asrama hanya telur goreng, telur mata atau telur dadar, berulang hari demi hari. Sekolah kekurangan dana kerana bantuan untuk sekolah agama rakyat ketika itu telah dihentikan. Malah, pernah juga pelajar terpaksa tidur dalam keadaan lapar apabila makanan malam habis awal.

Namun, semuanya berubah apabila Pak Lah mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Sekolah tersebut kemudian diiktiraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), dan bermulalah perubahan ketara dari segi kemudahan serta kebajikan pelajar.

“Tiba-tiba je satu hari tu bermula makanan sedap-sedap. Dapat makan ayam, dan lepas tu makin bertambah baik dari tahun ke tahun,” tulisnya.

SABK bawa perubahan besar kepada pelajar dan pendidik

Beliau juga menyatakan bahawa pendidik-pendidik sekolah tersebut kemudiannya diserap menjadi kakitangan awam, dan kemudahan sekolah turut dinaik taraf secara berperingkat.

Dalam hantaran di Facebook itu juga, Adawiyah yang kini telah bergelar pendidik menzahirkan rasa syukur dan doa buat Allahyarham Pak Lah, atas jasa besar beliau yang telah memberi kesan langsung kepada kehidupan dan masa depan pelajar seperti dirinya.

“Untuk jasa mewujudkan SABK, saya doakan mudah-mudahan Allah menyelamatkan Pak Lah daripada panasnya bahang api neraka. Semoga Allah ampunkan dosa Pak Lah di hari perhitungan amal dan balasan. Semoga Allah menempatkan Pak Lah bersama para solihin,” katanya.

Related Posts