Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berdepan detik cemas selepas jari tangan kanannya tersepit pada sebuah eskalator di pusat beli-belah di Jalan Tun Sambanthan pada petang Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 3.43 petang.
Berikutan kejadian tersebut, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dihantar ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menerusi kenyataan di Facebook, Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Hang Tuah memaklumkan, jari tangan kanan kanak-kanak berkenaan tersepit pada bahagian bawah dinding tangga eskalator.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Bagi mengeluarkan jari mangsa, anggota bomba menggunakan peralatan khas yang bersesuaian untuk merenggangkan bahagian eskalator tersebut.
“Pasukan bomba bertindak pantas dengan menggunakan peralatan khas Hydraulic Ram bagi merenggangkan bahagian dinding tangga eskalator sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa dengan selamat.” katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan dan pemeriksaan lanjut.
Sumber: Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Buletin TV3








