Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kad pengenalan atau MyKad merupakan satu dokumen penting yang perlu dibawa kemana sahaja. Sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, MyKad menjadi info kepada pihak berkuasa untuk menghubungi atau menjejak ahli keluarga.
Seperti menjadi kelaziman, apabila kita memasuki sesebuah premis perniagaan, pejabat atau perumahan, pengawal akan meminta MyKad untuk ditinggalkan di pos pengawal.
Bagaimanapun, menurut satu hantaran yang dimuatnaik oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menjadi kesalahan jika Mykad disimpan oleh orang lain. Jika berhadapan dengan pos pengawal cukup sekadar mereka mendokumentasi sahaja bukan menyimpan Mykad.
“Mengikut Peraturan 7, Akta Pendaftaran Negara, pegawai-pegawai yang boleh meminta IC adalah Pegawai Pendaftaran, Pegawai Polis, Pegawai Kastam dan tentera.
“Selain itu juga, pegawai-pegawai yang telah diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara,” katanya.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyerahkan MyKad kepada pihak yang tidak berautoriti.
“Jangan sewenang-wenangnya menyerahkan IC anda kepada pihak ketiga. Ambil tahu, jangan tertipu,” katanya.
Namun begitu, menerusi ruangan komen netizen meminta pihak JPN mencari penyelesaian isu ini apabila ada beberapa premis masih berkeras tidak membenarkan pelawat masuk jika tidak menyerahkan MyKad.
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara