Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses pengurusan jenazah, termasuk urusan memandikan jenazah, di media sosial. Tindakan ini dianggap tidak wajar kerana boleh menjejaskan maruah si mati dan keluarganya.
Beliau menegaskan pentingnya menjaga kemuliaan insan (karamah insaniah) seperti yang diajar dalam Islam.
“Semua pihak diseru supaya tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses urusan mandi dan pengurusan jenazah kerana ia membabitkan kemuliaan insan (karamah insaniah) yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Bahkan Baginda Rasulullah SAW memberikan peringatan supaya sentiasa berlaku ehsan serta tidak mematahkan tulang jenazah. Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup,” katanya.
Isu ini timbul selepas sebuah badan pengurusan jenazah menyiarkan siaran langsung memandikan jenazah seorang bayi lelaki bernama Adham di Facebook. Kontroversi juga tercetus apabila badan pengurusan jenazah mendakwa hospital tidak membenarkan jenazah dituntut kerana terdapat tunggakan bil rawatan.
Mohd Na’im menasihatkan semua pihak agar merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri dalam hal pengurusan jenazah untuk memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan tertib. Beliau juga meminta semua pihak tidak menyebarkan video tular mengenai kes bayi tersebut demi menjaga sensitiviti keluarga dan menghormati akhlak Islam.
Dalam pada itu, beliau juga meminta semua pihak bertenang kerana kes ini masih di bawah siasatan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
Sumber: Berita Harian








