Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan isu pemasangan bendera yang tidak lengkap tanpa lambang bulan dan bintang sebagai kes terpencil serta tidak disengajakan.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurutnya, siasatan juga perlu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang memasang bendera berkenaan, sama ada melibatkan orang awam atau pihak lain.
“Ya, saya rasa itu adalah bukan kes yang disengajakan. Kes yang terpencil, yang tidak disengajakan. Apa pun kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi.
“Walau siapa juga yang memasang bendera itu termasuklah orang awam dan sebagainya, itu saya kena semak dulu,” katanya.
Baca juga:
- ‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association
- Dakwaan lelaki kahwin rahsia di Thailand tular
- Dua lelaki ditahan, kereta disita selepas video tular di Jambatan Putra
Dalam pada itu, memetik laporan Berita Harian, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat menjelaskan Jalur Gemilang berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang, namun bahagian itu tercabut daripada jahitan akibat ribut kuat. Susulan kejadian itu, MBKT segera menurunkan bendera berkenaan pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang baharu.
Beliau berkata, selepas ini pihaknya tidak lagi akan menjahit sendiri bendera sebaliknya membeli bendera yang sudah siap bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Katanya, MBKT mengambil serius perkara itu dan akan memastikan Jalur Gemilang yang dipasang sentiasa dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Terdahulu, video memaparkan Jalur Gemilang berkibar tanpa lambang bulan dan bintang di Pantai Batu Buruk tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.








