Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang, susulan tularnya satu poster di laman Facebook Pemuda Umno Terengganu yang didakwa memaparkan bendera negara dengan jalur tidak mencukupi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menzahirkan penghargaan terhadap rakyat Malaysia yang menegur kesilapan itu.
“Kita menghargai teguran rakyat Malaysia terhadap kesilapan ini. Pemuda UMNO Terengganu mengambil pendirian jelas bahawa isu Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Baca juga:
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
Beliau menjelaskan bahawa kesilapan itu dipercayai berlaku tanpa sengaja, namun tetap menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat perkara tersebut.
“Silap tetap silap, salah tetap salah. Walaupun ada pihak yang memberikan penjelasan dan melepaskan kami daripada sebarang tuduhan, kami tetap berpegang bahawa tanggungjawab menjaga maruah Jalur Gemilang adalah keutamaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf atas insiden berkenaan dan menyeru semua pemimpin politik, khususnya sayap-sayap pemuda, untuk bersama mempertahankan bendera negara.
“Ini bukan soal kepentingan politik UMNO, tetapi soal negara dan maruah Jalur Gemilang kita,” ujarnya.








