Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penganjuran Karnival Havoc Food Festival yang bermula pada 9 Januari di tempat letak kereta Sama Square, Setapak, telah diarahkan dihentikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, memaklumkan bahawa penganjur acara itu gagal mendapatkan lesen hiburan yang diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang mengganggu penduduk kawasan tersebut, pejabat saya telah bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, menyatakan permohonan lesen untuk menganjurkan festival itu sebelum ini telah ditolak sebanyak dua kali. Penolakan ini disebabkan kelewatan permohonan dan aduan penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
“Penganjur diingatkan supaya lebih peka dengan keadaan penduduk setempat sebelum merancang sebarang acara yang berpotensi mengganggu keselesaan orang ramai,” tambahnya.
Acara ini menjadi bualan hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila penduduk sekitar meluahkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menempuh kesesakan selama hampir dua jam yang dipercayai berpunca daripada festival tersebut.
Sumber: Bernama








