Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa platform media sosial Halal Inquiry Company Direktori (HICD) tidak mempunyai sebarang hubungan dengan agensi itu serta tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penegasan itu dibuat susulan perkongsian kandungan dan kenyataan berkaitan isu halal yang disiarkan HICD mengenai sebuah syarikat baru-baru ini.
Menurut beliau, sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat dan diterbitkan HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri.
Katanya, kandungan tersebut tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM berhubung Pensijilan Halal Malaysia.
“JAKIM memandang serius berhubung perkongsian kandungan dan kenyataan berkaitan isu halal yang disiarkan menerusi platform media sosial HICD,” menurut kenyataan itu.
Baca juga:
- ‘Tak perlu kumpulkan 222 Ahli Parlimen untuk dengar ‘podcast’ kerajaan’ – Wan Fayhsal
- ‘Parlimen bukanlah one-man show’ – Syed Saddiq bidas pembangkang
- Anwar persoal tindakan pembangkang keluar Dewan ketika isu RCI Tabung Haji dibahas
Dalam pada itu, JAKIM berpandangan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal perlu berasaskan fakta serta disampaikan secara bertanggungjawab.
JAKIM turut mengingatkan supaya penyampaian berkaitan isu halal tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti.
Menurutnya, perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia.
Sehubungan itu, JAKIM menyeru orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya mendapatkan pengesahan berkaitan status Pensijilan Halal Malaysia melalui Portal Rasmi Halal Malaysia dan saluran rasmi JAKIM.
JAKIM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kefahaman masyarakat mengenai isu halal disampaikan secara tepat, berautoriti dan berlandaskan fakta yang sahih demi kemaslahatan serta kesejahteraan ummah.








