Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat penularan sebuah rakaman video di platform TikTok yang memaparkan aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor, seperti yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan rasmi JAIS, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana aktiviti berkenaan bukan sahaja disifatkan sebagai sangat tidak beradab, malah mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam serta perbuatan yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sehubungan itu, JAIS kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu-individu yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Dalam pada itu, JAIS memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut agar tampil membantu siasatan. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau membuat aduan dengan menghubungi talian Hotline JAIS di 1800-88-2424.
Baca juga:
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
- ‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang
JAIS turut menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang bercanggah dengan adab, norma masyarakat serta sensitiviti agama tidak akan dikompromi, khususnya apabila melibatkan imej dan kesucian agama Islam di negeri Selangor.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan wanita bertudung melakukan aktiviti senaman zumba tanpa seluar yang mengundang kemarahan netizen dan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.








