Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberikan maklum balas terhadap isu tular berhubung ketetapan tidak membenarkan Sambutan Hari Guru diadakan di peringkat sekolah dan daerah bagi semua institusi pendidikan di bawah pentadbirannya tahun ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan tersebut bukan bermaksud jasa dan pengorbanan guru diketepikan, sebaliknya JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menghargai sumbangan para guru dalam mendidik pelajar di bawah seliaan mereka.
Beliau berkata, sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik, Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor tetap akan diadakan pada 21 Mei ini dengan pengiktirafan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang dalam pelbagai kategori.
Katanya, sambutan itu melibatkan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor dalam bentuk hadiah tunai serta geran kepada penerima yang dipilih.
Tambah beliau, keputusan untuk tidak mengadakan sambutan di peringkat sekolah dan daerah dibuat selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah dan bijak selain mengurangkan penggunaan tenaga susulan ketidaktentuan situasi geopolitik semasa.
Baca juga:
- Vijay hargai ucapan tahniah Anwar, komited eratkan hubungan Tamil Nadu-Malaysia
- ‘Menghina sahabat Nabi perbuatan haram, dosa besar’ – Dr Zulkifli Hasan
- Kerajaan Negeri Selangor sambut baik penganjuran Himpunan Daulat Tuanku
Menurutnya lagi, Sultan Selangor turut menitahkan rakyat di negeri itu supaya mengutamakan perbelanjaan mengikut keperluan dan melaksanakan pengurusan kewangan secara berhemah.
JAIS turut memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beban kewangan ibu bapa atau penjaga yang kebiasaannya menyediakan hadiah tertentu kepada guru sempena sambutan Hari Guru atas permintaan anak-anak.
Dalam pada itu, JAIS berkata pihaknya akan mempertimbangkan semula penganjuran Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali stabil, selain menilai beberapa pengubahsuaian termasuk memastikan sambutan tidak mengganggu proses pembelajaran di dalam kelas.








