JAIM tahan TikToker berpakaian seperti wanita ketika buat live | The Reporter

JAIM tahan TikToker berpakaian seperti wanita ketika buat live

TikToker disoalsiasat oleh JAIM
TikToker lelaki disoalsiasat oleh JAIM. Gambar: Malaysia Gazette

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang pempengaruh lelaki selepas didapati berpakaian dan berlagak seperti wanita ketika membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok di Banda Hilir awal pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JAIM selepas pihaknya menerima aduan awam.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki terbabit memakai blaus berwarna ungu, rambut palsu bersanggul, kasut wanita serta anting-anting. Kesemua barangan itu telah disita oleh penguat kuasa agama untuk dijadikan barang kes.

Individu terbabit kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Aduan orang awam

Jelas Md Azhan, tindakan itu diambil susulan aduan awam yang tidak menyenangi perbuatan lelaki berkenaan kerana didakwa mempromosikan serta menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

“Umat Islam dinasihatkan agar tidak mengamalkan gaya hidup LGBT kerana ia diharamkan dalam Islam dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Perbuatan itu juga menyalahi undang-undang yang tidak menyokong sebarang bentuk amalan LGBT di Malaysia,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 72: Lelaki berlagak seperti perempuan, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts