Jabatan kerajaan keluarkan infografik larang penjawat awam jalin hubungan sulit dengan suami atau isteri orang di tempat kerja - The Reporter

Jabatan kerajaan keluarkan infografik larang penjawat awam jalin hubungan sulit dengan suami atau isteri orang di tempat kerja

Tular di media sosial hari ini, infografik hebahan daripada jabatan kerajaan yang memberi peringatan kepada kakitangan mengenai larangan menjalinkan hubungan sulit dengan suami atau isteri orang.

Infografik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, perbuatan itu merupakan kesalahan tatatertib yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.

“Menjalinkan hubungan sulit antara penjawat awam sehingga menyebabkan hubungan suami isteri di rumah terjejas, adalah merupakan kesalahan tatatertib dan boleh diertikan sebagai kelakuan yang memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam,” kata kenyataan itu.

Selain itu, perbuatan penjawat awam lelaki memikat rakan sekerja wanita yang sudah bersuami juga merupakan satu kesalahan jenayah.

Perbuatan itu membolehkan pelaku dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Bagi penjawat awam yang beragama Islam yang melakukan perbuatan itu, juga merupakan kesalahan jenayah syariah yang membolehkan pelaku dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu di media sosial, netizen mempersoalkan tindakan jabatan mengeluarkan infografik berkenaan yang dianggap tidak wajar.

“Benda macam ni pun sampai nak kena buat infografik eh? Oh Malaysiaku,” kata netizen.

Undang-undang sudah lama wujud

Walau bagaimanapun, ada yang menjelaskan larangan itu sudah lama wujud untuk penjawat awam dan tiada salahnya pihak jabatan mengeluarkan memo berkenaan untuk tujuan peringatan kepada kakitangannya.

“Sebenarnya undang-undang ini sudah lama wujud untuk penjawat awam. Mana-mana penjawat awam tidak boleh ada skandal, bahkan dengan orang bujang (jika sudah berkahwin), boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Tetapi disebabkan manusia tak reti bahasa, notis seperti ini perlu diedarkan,” kata netizen lain.

Sumber: X

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!