Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan isu politik dan perkauman tidak sepatutnya dijadikan sebagai penghalang kepada usaha kerajaan dalam mempromosikan industri pelancongan. Namun sebaliknya, beliau berkata tumpuan harus diberikan kepada usaha merancakkan ekonomi negara.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa berusaha meningkatkan jumlah pelancong tanpa mengira negara asal mereka. Namun begitu, usaha ini mendapat tentangan daripada pihak tertentu yang melihat ia seolah-olah lebih mengutamakan pelancong dari China.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa sentimen politik dan perkauman yang dimainkan oleh segelintir pihak, khususnya terhadap pelancong China, berpotensi menghalang usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Tumpuan pada wujudkan peluang perniagaan
Menurut Tiong, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak akan mencampuradukkan politik dan agama dalam usahanya menarik pelancong, sebaliknya memberi tumpuan kepada mewujudkan peluang perniagaan untuk rakyat serta memacu ekonomi negara.
“Nasihat saya kepada semua ialah bekerjasama untuk menarik pelancong. Bukan hanya Malaysia yang berusaha menarik pelancong China, Arab Saudi juga sangat agresif berkempen di China untuk menarik pelancong mereka. Ini kerana mereka (China) adalah pasaran terbesar dan pelancong yang banyak berbelanja,” katanya.
Tiong turut menjelaskan bahawa kehadiran pelancong China akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara, termasuk membantu peniaga kecil khususnya di kawasan pedalaman.
Untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand, yang lebih menarik kepada pelancong, beliau menegaskan bahawa semua pihak harus fokus kepada usaha menjadikan Malaysia destinasi pilihan. Tindakan mengutuk pelancong, khususnya dari China, tidak akan membantu usaha ini.
“Apa yang penting ialah mengembangkan ekonomi. Jangan semua perkara dikaitkan dengan politik dan perkauman. Jika tidak, kita tidak akan berjaya mencapai visi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan ASEAN 2025,” katanya.
Tiong turut memaklumkan bahawa jumlah ketibaan pelancong bagi tempoh Januari hingga November tahun ini mencatatkan 34.2 juta orang, yang merangkumi 22.5 juta pelancong dan 11.7 juta pelawat. Prestasi ini telah melepasi tahap sebelum pandemik.
Sumber: Sinar Harian








