Isu pensijilan halal, polis buka kertas siasatan ke atas Teresa Kok - The Reporter

Isu pensijilan halal, polis buka kertas siasatan ke atas Teresa Kok

Sumber Gambar: FMT, Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Susulan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambahkan beban kepada peniaga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung isu tersebut.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain lima laporan diterima di seluruh negara berkaitan isu berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Prosedur operasi standard (SOP) siasatan 3R (Raja, agama dan kaum) akan dijalankan selepas laporan polis diterima dan semua saksi-saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Tidak cetuskan spekulasi

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan pelbagai spekulasi walaupun katanya kebebasan bersuara itu dibenarkan, namun perlu ada batasnya.

“Kenyataan yang bersifat sedemikian juga adalah satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Polis juga menyeru semua masyarakat untuk menghayati prinsip Rukun Negara,” katanya.

Pensijilan halal

Terdahulu, Teresa menyatakan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan.

Hantaran yang dibuat menerusi Facebook itu merupakan maklum balas dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol memiliki sijil halal.

Sementara itu juga, Perdana Menteri turut menyatakan kenyataan yang dibuat oleh Teresa telah mengundang kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat dan menasihati agar pemimpin politik mengemukakan cadangan ke peringkat dalaman supaya perkara berkenaan dapat diteliti.

Bagaimanapun, Teresa dalam hantarannya menyatakan beliau mengambil pendekatan berkenaan apabila melihat Dr Mohd Na’im membangkitkan cadangan berkenaan menerusi forum terbuka tanpa libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.

Sumber: Harian Metro, Malaysia Kini

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!