Pendakwa Raya di Pejabat Peguam Daerah Musi Banyuasin (MUBA) Sumatera Selatan menuntut seorang wanita dikenakan hukuman penjara tiga tahun enam bulan kerana memotong kemaluan saminya, Rian Hidayat, 33, sehingga mengalami kecacatan kekal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Lisa Yani, memotong kemaluan suaminya pada 23 Februari 2024, sekitar jam 5 pagi di kediaman mereka.
Kejadian itu berlaku setelah pasangan itu bertengkar mengenai orang ketiga yang hadir dalam rumah tangga mereka.
“Pada malam itu, saya minta dia menceraikan saya atau isteri mudanya. Tetapi dia enggan kerana madu saya itu sedang hamil.
“Selepas itu saya redha dan menerima sahaja kerana memikikan nasib tiga anak saya jika hubungan ini ditamatkan. Suami kemudian meminta saya menghubungi madu dan memaklumkan bahawa saya merestui hubungan mereka.
“Bagaimanapun selepas solat Subuh, saya menangis dan tidak dapat menerima kenyataan. Saya secara spontan terus mengambil pisau dan memotong kemaluan suami yang ketika itu sedang tidur,” katanya.
Selepas melakukan perbuatan itu, Lisa terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang terpaksa meminta bantuan dari jiran berdekatan.
Ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Muba pada Rabu lalu, Pendakwa Raya Giovanni berkata, tertuduh secara sah terbukti bersalah di bawah Akta 44 Seksyen 3 Undang-Undang Republik Indonesia No 2 Tahun 2004, mengenai Keganasan Dalam Rumah Tangga.
Menurut Giovanni, tertuduh layak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan kerana perbuatannya yang menyebabkan mangsa cacat.
Bagaimanapun mahkamah difahamkan, pasangan itu sudah berdamai dan telah menandatangani surat perdamaian kerana mereka masih mempunyai anak kecil yang memerlukan kasih sayang ibu bapa.
Setelah mendengar hujah tersebut, panel hakim bersetuju memberi peluang kepada tertuduh untuk mengemukakan pengakuan.
“Saya masih ada anak kecil tuan arif. Saya minta hukuman saya diringankan,” kata Lisa dengan penuh harapan.
Perbicaraan ditangguhkan dan dijadual akan disambung semula pada Selasa, 30 Julai 2024 untuk keputusan hukuman.