Israel kecewa, Trump umum berdamai dengan Houthi | The Reporter

Israel kecewa, Trump umum berdamai dengan Houthi

Netanyahu kecewa dengan keputusan Trump berdamai dengan kumpulan Houthi tanpa maklumkan Israel
Netanyahu beri reaksi selepas Trump umum perjanjian gencatan senjata dengan Houthi tanpa libatkan Israel

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan pihaknya akan mempertahankan diri sendiri tanpa bergantung kepada sekutu, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengejutkan Tel Aviv dengan mencapai persetujuan damai bersama kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan besar ke atas lapangan terbang antarabangsa Yaman dan beberapa fasiliti lain sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Houthi ke atas lapangan terbang utama Israel. Menurut seorang pegawai Israel kepada CNN, mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai rundingan tersebut.

Trump menjelaskan, AS akan menghentikan kempen ketenteraan terhadap Houthi sebagai pertukaran untuk komitmen kumpulan itu menghentikan serangan ke atas kepentingan Amerika di rantau tersebut. Namun, pemimpin kanan Houthi, Mohammed Ali al-Houthi menegaskan bahawa serangan terhadap Israel tetap akan diteruskan.

“Ini satu kemenangan yang memisahkan sokongan AS terhadap entiti sementara (Israel) dan satu kegagalan buat Netanyahu,” kata al-Houthi.

Netanyahu dalam satu kenyataan video pada Rabu menyatakan, “Israel akan pertahankan dirinya sendiri.” Walaupun sebelum ini Israel berganding bahu dengan AS dalam operasi menentang Houthi, dua serangan berturut-turut ke atas Yaman minggu ini dilakukan secara bersendirian.

“Kalau ada yang mahu bersama kita terutamanya rakan Amerika, itu lebih baik. Tapi kalau tidak, kita tetap akan bertahan sendiri,” ujar Netanyahu.

Trump pula dalam kenyataan terbaharu memuji ketabahan Houthi yang menurutnya “mampu bertahan menghadapi hukuman berulang kali.” Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai hasil yang baik dan AS akan menghormati komitmen Houthi untuk tidak menyerang kapal perang atau kapal dagang AS di rantau berkenaan.

Bekas utusan khas AS ke Timur Tengah, Dennis Ross pula menyifatkan keputusan AS itu sebagai satu lagi tindakan yang mengetepikan kepentingan Israel. Beliau mengimbas kembali bagaimana Netanyahu tidak dimaklumkan awal ketika Trump memulakan rundingan nuklear dengan Iran dan juga semasa AS mula berunding dengan Hamas pada Mac lalu.

Untuk rekod, Trump telah menyenaraihitamkan kumpulan Houthi sebagai Organisasi Pengganas Asing di penghujung penggal pertamanya, sebelum ia dibatalkan oleh Presiden Joe Biden pada awal pentadbirannya dan kemudiannya disenaraikan semula oleh Trump pada Januari tahun ini.

Sumber: CNN

Related Posts