Israel bunuh ratusan buaya, kononnya untuk halang ‘sabotaj’ dari pihak musuh | The Reporter

Israel bunuh ratusan buaya, kononnya untuk halang ‘sabotaj’ dari pihak musuh

Israel bunuh ratusan buaya di ladang Petza’el atas alasan keselamatan
Pihak berkuasa Israel pertahan tindakan bunuh ratusan buaya, dakwa langkah itu perlu bagi elak sabotaj musuh | Sumber gambar: Ynet News

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pihak berkuasa Israel mempertahankan tindakan pihaknya membunuh ratusan buaya di ladang Petza’el, Lembah Jordan, Ogos lalu atas alasan keselamatan awam dan kebajikan haiwan.

Menurut Pentadbiran Awam Israel dan Pihak Berkuasa Alam dan Taman Negara Israel, tindakan itu dilakukan selepas timbul kebimbangan ladang berkenaan boleh menjadi sasaran sabotaj yang membolehkan buaya-buaya dilepaskan ke seluruh Tebing Barat.

Agensi itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat bukan sahaja bagi mengelakkan ancaman keselamatan, tetapi juga untuk menamatkan penderitaan buaya yang dipelihara dalam keadaan serba daif.

Keadaan ladang usang dan risiko keselamatan

Pihak berkuasa memaklumkan mereka telah beberapa kali memberi amaran kepada pemilik ladang berkenaan mengenai keadaan pagar keselamatan dan infrastruktur yang rosak. Sebahagian buaya pernah terlepas sebelum ini, namun berjaya ditangkap semula tanpa sebarang insiden.

Pegawai turut mendakwa sebahagian buaya dewasa diberi makan bangkai buaya kecil, manakala anak buaya dibiarkan menjadi mangsa kepada buaya besar lain. Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebajikan haiwan di ladang berkenaan.

Selain itu, keadaan keselamatan yang tegang di rantau tersebut menimbulkan risiko bahawa pihak musuh mungkin cuba memecah masuk ke kawasan itu dan melepaskan ratusan buaya ke kawasan penempatan berhampiran.

Baca juga:

Dikecam kumpulan pencinta haiwan

Langkah tersebut bagaimanapun mencetuskan kemarahan pelbagai pertubuhan kebajikan haiwan seperti Let the Animals Live, Animals Now dan Jane Goodall Institute Israel. Mereka menuntut siasatan dan garis panduan yang lebih jelas untuk menangani kes seumpama itu.

Aktivis mendakwa alasan pihak berkuasa tidak munasabah kerana penilaian rasmi sendiri menunjukkan kebanyakan buaya berada dalam keadaan sihat dan tidak perlu dibunuh secara besar-besaran.

Bagaimanapun, agensi terlibat menolak tuntutan siasatan dan menegaskan tindakan itu dijalankan secara sah, di bawah permit memburu yang sah serta mengikut protokol antarabangsa bagi ladang buaya di seluruh dunia.

Mereka menegaskan keputusan tersebut dibuat “dengan penuh tanggungjawab dan rasa belas kasihan” serta tidak wajar dijadikan preseden untuk dasar nasional.

Sumber: Ynet News

Related Posts