Israel bertegas halang flotila bantuan cuba pecah sekatan Gaza | The Reporter

Israel bertegas halang flotila bantuan cuba pecah sekatan Gaza

Kapal flotila bantuan menuju ke Gaza.
Gambar: Tan Safi/Freedom Flotilla Coalition

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Israel dalam satu kenyataan menegaskan, tidak akan membenarkan flotila bantuan menuju Gaza untuk memecah sekatan laut yang dikenakan terhadap wilayah Palestin berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Israel berkata mereka tidak akan membenarkan sebarang kapal memasuki zon perang aktif.

“Israel tidak akan membenarkan sebarang kapal memasuki zon perang aktif dan tidak akan membenarkan pelanggaran sekatan laut yang sah,” katanya.

Pihaknya turut menuduh flotila itu dianjurkan oleh Hamas untuk kepentingan kumpulan militan berkenaan.

Memetik laporan The New Indian Press, Israel bagaimanapun menyatakan kapal-kapal bantuan dibenarkan untuk berlabuh di Ashkelon, sebelum bantuan tersebut dipindahkan ke Gaza secara terkoordinasi.

“Jika niat sebenar peserta flotila adalah untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan bukannya berkhidmat untuk Hamas, Israel menyeru kapal-kapal itu berlabuh di Ashkelon Marina dan memunggah bekalan di situ, sebelum dipindahkan segera secara berkoordinasi ke Gaza,” kata kementerian luar itu lagi.

Baca juga:

Flotila yang dikenali sebagai Global Sumud turut membawa beberapa aktivis pro-Palestin terkenal, termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg dan juga cucu kepada Nelson Mandela. Kapal berkenaan berlepas dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali mengalami kelewatan.

Misi mereka adalah untuk memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Sebelum berlepas, pihak penganjur mendakwa dua buah bot mereka telah disasarkan serangan dron.

Ini bukan kali pertama Israel menyekat usaha flotila. Pada bulan Jun dan Julai lalu, dua percubaan oleh aktivis antarabangsa untuk sampai ke Gaza melalui laut turut digagalkan pihak berkuasa Israel.

Related Posts