Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan dua lelaki yang juga adik beradik kerana melanggan pelacur warga Thailand di sebuah hotel di Melaka Raya, pada malam Rabu.
Kedua-duanya ditahan dalam serbuan yang dilakukan pada jam 9.40 malam dan pegawai penguatkuasa JIM terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu bilik.
Setelah pintu dibuka, seorang lelaki berusia 30 tahun, bekerja sebagai mekanik mengaku melanggan wanita itu melalui aplikasi WeChat yang dikongsikan oleh abangnya.
“Ini kali pertama saya melanggan dan memang menyesal. Saya pun tak sempat buat apa-apa.
“Saya diberikan pautan aplikasi dan diberitahu lokasi, masa dan bayaran,” katanya.
Sementara itu, abangnya yang berada di bilik berasingan turut ditahan dan mengaku tidak sempat menggunakan perkhidmatan wanita Thailand itu.
Dua beradik itu kemudian diberi borang Imm.29 (Saman kepada saksi) untuk membantu siasatan.
Dalam serbuan itu, JIM Melaka menahan 13 warga asing termasuk seorang lelaki. Kesemua yang ditahan berasal dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Pakistan, serta akan dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian








