Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sepasang suami isteri sah menjadi tular di TikTok selepas berkongsi pengalaman dikejutkan dengan serbuan pegawai pejabat agama dan polis pada jam 2 pagi di sebuah hotel.
Menerusi video yang dimuat naik pengguna TikTok, @haahlahzett, pasangan itu dilihat sedang menginap di sebuah hotel sebelum dikejutkan dengan ketukan mengejut di pintu bilik.
Ketika kejadian, si isteri sedang menggosok baju apabila terdengar bunyi ketukan. Sebaik pintu dibuka, kelihatan lapan orang pegawai pejabat agama dan anggota polis berdiri di hadapan bilik.
Menurut pasangan itu, mereka menunjukkan kad pengenalan dan menjelaskan bahawa mereka berasal dari Kuala Lumpur serta hadir ke negeri berkenaan bagi menyambut Aidilfitri. Mereka turut menyerahkan dokumen pernikahan sebagai bukti sah.
Lepas 6 tahun kahwin, baru kad nikah berguna
Pasangan itu turut meluahkan rasa pelik apabila mereka tetap menjadi sasaran pemeriksaan walaupun menginap di hotel bertaraf tinggi dan bukan hotel bajet.
“Hotel bukan murah pun, tapi tetap kena serbu. Lepas 6 tahun kahwin, baru kad nikah ni ada gunanya,” ujar si isteri sambil ketawa kecil dalam video berkenaan.
Setelah pegawai berpuas hati dengan dokumen yang diberikan, mereka dilihat meminta maaf dan meninggalkan bilik pasangan itu.
Disangka makanan, rupanya pegawai agama
Dalam video lain yang turut dimuat naik, si isteri berkongsi sisi berbeza insiden tersebut. Katanya, dia menyangka suaminya telah memesan makanan lewat malam, namun terkejut apabila pintu dibuka dan mendapati lapan pegawai agama yang muncul.
“Nasib baik belum tidur masa tu. Kalau dah tidur, lagilah tak tahu macam mana terkejutnya. Ingatkan suami pesan makanan macam biasa, rupanya pegawai agama,” katanya sambil tertawa.
Pemeriksaan rawak sempena cuti umum
Wanita itu turut berkongsi bahawa pihak hotel memaklumkan serbuan dibuat berikutan keesokan harinya merupakan cuti umum.
Difahamkan, pihak pejabat agama akan meminta senarai nama tetamu berbangsa Melayu untuk tujuan pemeriksaan moral — sesuatu yang menurut pasangan itu, wajar dilakukan dengan lebih berhati-hati dan sensitif.
Video pengalaman mereka telah mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk yang bersimpati dan yang mempertikaikan cara operasi tersebut dijalankan.
Ramai turut memuji pasangan itu kerana kekal tenang dan memilih untuk berkongsi pengalaman mereka secara terbuka dan santai.








