Seorang pempengaruh Jepun, Airi Hirase, 27, berkongsi perjalanannya yang telah melakukan lebih daripada 20 pembedahan kosmetik yang menelan perbelanjaan sebanyak 24 juta yen (RM720K).
Hirase nekad berbuat demikian kerana terkesan dengan penderaan lisan yang dilakukan oleh ibu kandungnya sejak dari kecil di mana wanita itu sering mengatakan wajahnya menyerupai suaminya yang juga bapa kepada Hirase – lelaki yang telah mengkhianatinya dan meninggalkan hutang yang banyak.
Kisah hidup bertukar menjadi inspirasi
Semasa berusia 15 tahun, Hirase terdetik untuk melakukan pembedahan plastik kerana mahu melarikan diri daripada kisah silamnya. Dia menjalani pembedahan kosmetik pertama pada usia 19 tahun. Hirase kemudian berkongsi gambar wajahnya sebelum dan selepas yang mengundang ramai netizen mengikuti akaun media sosialnya.
Hirase mengakui dia telah menjalani sekurang-sekurangnya 20 prosedur pada wajah dan payudaranya.
Dengan jumlah 1.1 juta pengikut di Instagram dan 300,000 di platform lain, Hirase telah mengubah pengalaman hidupnya menjadi kandungan yang memberi inspirasi kepada orang ramai.
Pernah jadi mangsa buli
Menurut Hirase, dia menjadi mangsa buli oleh rakan sebayanya semasa berada di bangku sekolah. Mereka menganggap wajahnyahodoh dan kelihatan seperti lelaki. Kata-kata itu menyebabkan emosinya terkesan dan sering takut melihat cermin.
Pernah sekali dia cuba meragut nyawanya semasa berada di sekolah menengah, tetapi berjaya dihalang oleh seorang sahabatnya.
Kumpul duit untuk buat pembedahan plastik
Hirase mengakui sejak dari usia 15 tahun, dia menyimpan impian untuk menjadi cantik. Untuk itu, dia mula bekerja separuh masa dengan melakukan kerja-kerja memindah barang penduduk dan menjadi pengawal keselamatan (semasa berusia 16 tahun).
Beberapa tahun kemudian, Hirase berpindah keluar dari rumah ibunya dan menyewa sebuah bilik di sebuah pangsapuri. Demi mencapai impiannya, Hirase sanggup melakukan dua pekerjaan separuh masa dan hanya sempat tidur empat jam sehari.
Dalam tempoh lapan tahun, dia berjaya menyimpan 10 juta yen (RM300K) dan menggunakan sebahagian wang tersebut untuk melakukan pembedahan kosmetik yang telah mengubah dirinya menjadi individu yang berbeza.
Sejak dari itu, Hirase menerima banyak jemputan ke pelbagai program realiti TV dan majalah fesyen.
Walaupun wajahnya kini sudah kelihatan cantik, Hirase mengakui dia masih bergelut dengan masalah keyakinan diri yang rendah.
Ditanya mengenai tentang perasaannya jika anak-anaknya yang dilahirkan nanti menyerupai wajah asalnya sebelum menjalani pembedahan, Hirase berkata dia mungkin tidak akan menjalani pembedahan kosmetik jika bukan kerana mulut ibunya.
“Saya tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh ibu saya. Saya akan mencurahkan banyak kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak saya,” katanya. – Agensi