Nafi abaikan Zayn, syak anak dilarikan orang
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dia pernah dipaksa oleh pihak polis untuk mengaku membunuh anaknya sendiri ketika berada dalam tahanan reman selama 13 hari pada Jun tahun lalu.
Ismanira, 30, yang merupakan saksi pembelaan pertama dalam kes pengabaian terhadap anak autisme itu, memberitahu Mahkamah Sesyen dia dipaksa membuat pengakuan tersebut ketika disoal siasat di sebuah ‘safe house’ di Petaling Jaya, enam bulan selepas kematian Zayn.
“Mereka reka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya, lalu saya membunuh anak saya sendiri. Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haresh Mahadevan hari ini.
Menurutnya lagi, sebahagian pegawai penyiasat menyatakan simpati kepadanya dan meminta agar dia bertahan sepanjang tempoh reman, manakala kumpulan lain pula didakwanya terus menekan dengan tuduhan palsu.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
“Saya tidak pernah abaikan Zayn”
Ismanira turut menegaskan dia tidak pernah mengabaikan Zayn Rayyan sepanjang hayat kanak-kanak itu, apatah lagi dalam tempoh seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa. Saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti dalam pertuduhan itu. Saya benar-benar hilang anak pada hari itu,” katanya sambil menambah dia hanya berpisah dengan Zayn ketika waktu bekerja atau ketika anaknya di sekolah.
Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Ismanira memberitahu dia menyedari kehilangan Zayn selepas tidak lagi mendengar bunyi tapak kasut anaknya semasa menaiki tangga di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.
“Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang kerana saya langsung tidak mendengar bunyi tapak kasutnya,” katanya.
Semalam, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri atas tuduhan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan.
Perbicaraan bela diri akan bersambung esok dengan empat lagi saksi pembelaan akan dipanggil.
Sumber: Harian Metro




