Ibu tunggal & rakan serumahnya mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya & mengabaikan Adik Iman | The Reporter

Ibu tunggal & rakan serumahnya mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya & mengabaikan Adik Iman

Sumber gambar: Kosmo! Online

Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya berperwatakan tomboy yang dituduh mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun pada Ogos lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

Tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan rakannya, Awiin Chua, 30, yang terdahulu mengaku tidak bersalah, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan mangsa.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengabaikan mangsa yang juga merupakan anak kandung kepada ibu tunggal berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos 2023.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Abd. Rahim Ali.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah turut mengekalkan ikat jamin ibu tunggal itu sebanyak RM15,000 dan ikat jamin rakan serumahnya RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun menurut Abd. Rahim, sehingga kini ahli keluarga atau kenalan dua anak guamnya itu tidak membayar wang jaminan tersebut.

Sumber: Kosmo! Online, Bernama

Related Posts