'Kenapa perlu spin cerita?', wanita nafi dakwaan anak menangis lebih 1 jam dalam feri | The Reporter

‘Kenapa perlu spin cerita?’, wanita nafi dakwaan anak menangis lebih 1 jam dalam feri

Seorang wanita menafikan dakwaan lelaki yang mengatakan anaknya menangis tantrum dalam feri lebih satu jam
Wanita menepis dakwaan pasangan suami isteri mendakwa anaknya teah menangis lebih satu jam dalam feri. Gambar hiasan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan reaksi kurang senang sepasang suami isteri apabila terdengar tangisan seorang kanak-kanak yang mengalami tantrum ketika berada di dalam sebuah feri.

Reaksi pasangan tersebut telah mengundang kritikan ramai netizen yang menyifatkan tindakan mereka sebagai tidak sensitif. Susulan itu, pemilik video berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Setelah beberapa ketika berdiam diri, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak berkenaan akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai situasi sebenar. Menerusi satu hantaran di TikTok, dia meluahkan rasa sedih dan tertekan dengan dakwaan yang disebarkan oleh pihak terbabit.

“Allahuakbar… Saya sangat tertekan dan sedih bila dengar apa yang diceritakan oleh pihak sana. Kenapa perlu putar belit cerita sampai jadi begini? Anak saya masih kecil, baru berusia dua tahun empat bulan. Bukan kanak-kanak berumur lima atau enam tahun seperti yang didakwa,” katanya.

Wanita berkenaan turut menafikan dakwaan bahawa anaknya menangis selama lebih satu jam. Menurutnya, tangisan tersebut hanya berlaku selama kira-kira 20 minit dan tidak berterusan sepanjang masa.

“Kamu spin cerita lagi, kata anak saya menangis sampai satu jam lebih. Sedangkan baby saya hanya menangis anggaran 20 minit sahaja. Itu pun bukan secara berterusan.

“Tangisannya berselang-seli. Sekejap okay, sekejap menangis semula. Keadaan kembali tenang selepas dia tertidur sehingga kami sampai ke jeti,” jelasnya.

Usaha pelbagai cara tenangkan anak

Dia turut menjelaskan bahawa sepanjang kejadian, dia dan suami telah berusaha pelbagai cara untuk menenangkan anak mereka, dan bukan membiarkannya menangis tanpa dipujuk seperti yang didakwa.

“Dalam feri itu ada CCTV, jadi kalau kamu nak kata kami menipu, silakan semak. Untuk pengetahuan, kami memang dah cuba bermacam-macam cara. Bukannya kami biarkan dia menangis begitu sahaja.

“Kalau betul ubat tidur yang kamu cakap itu tidak berkesan untuk bayi, saya adalah orang pertama yang akan standby untuk pastikan anak saya tidak mengganggu orang lain,” katanya lagi.

Related Posts