Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang ibu, Aisyah Hamzah, 42, mengambil langkah drastik dengan membawa anak angkatnya, Muhammad Ziqri, 7, ke balai polis berhampiran selepas mendapati anaknya mengganggu rakan-rakan di sekolah.
Aisyah bertindak sedemikian untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada anaknya supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Menurut Aisyah, dia telah menasihati anaknya berkali-kali sebelum ini. Namun semua nasihat tidak diendahkan.
“Saya dah tak tahu cara lain untuk menyedarkan dia. Sebagai ibu, saya mahu yang terbaik untuk anak saya. Saya rasa pengajaran inilah yang terbaik untuk dia belajar dan tidak mengulangi kesilapannya,” katanya.
Aisyah yang mengambil Muhammad Ziqri sebagai anak angkat sejak berusia lapan hari, memberitahu anaknya sering mengganggu murid lain dan sering ditegur oleh guru.
“Cikgu dia memang selalu beritahu saya yang Ziqri suka kacau murid lain, tapi tidaklah begitu teruk. Tetapi, hari itu sudah melampau kerana kawannya terjatuh dan dahi terkena bucu meja. Itulah sebabnya saya bawa dia ke balai polis untuk beri pengajaran,” ujarnya.
Di balai polis, pihak polis turut memainkan peranan dengan ‘menangkap’ Ziqri sebagai lakonan untuk menakutkan dan memberi pengajaran kepada anaknya.
“Memang banyak kali saya beritahu Ziqri untuk jaga perangai, kalau tidak saya nak hantarnya ke balai polis. Sampai saja di balai, saya terus beritahu pegawai itu untuk ‘tangkap’ Ziqri dan mereka pun sama-sama membantu bagi menjayakannya,” tambah Aisyah.
Selepas kejadian tersebut, Aisyah memaklumkan anaknya sudah tidak membuat perangai nakal dan mengganggu rakan-rakan sekelas lagi.
“Alhamdulillah, sekarang dia tak ganggu kawan-kawan lain. Mungkin dia ambil pengajaran dengan apa yang saya dah buat,” katanya.
Aisyah turut menyarankan kepada ibu bapa lain supaya sentiasa sabar dalam mendidik anak-anak terutama mereka yang terlalu aktif.
“Saya faham memang sukar untuk kita jaga anak-anak yang aktif, tetapi setiap anak itu membawa sebuah amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Sumber: Sinar Harian