Ibu 5 anak mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal terhadap 2 anak lelakinya - The Reporter

Ibu 5 anak mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal terhadap 2 anak lelakinya

Ibu lima anak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya.

Wanita yang didakwa melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Tertuduh berusia 33 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya pada November 2022. Namun tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mengikut tiga pertuduhan itu, ibu kepada lima anak berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua anak lelakinya berusia 14 dan 12 tahun pada waktu kejadian di Puncak Alam, jam 8 malam, November 2022.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengarahkan pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk video terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun pada ketika kejadian, di sebuah hotel di Sungai Buloh pada jam 2 pagi, Februari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri dan Nurul ‘Izzati Mohamad tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tiada sebarang jaminan dan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, rakan tertuduh, penarik kereta berusia 22 tahun, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di hotel di Sungai Buloh pada jam 2 pagi, Februari 2022.

Hakim membenarkan tertuduh diiikat jamin RM15,000. Selain itu tertuduh diperintah untuk melapor diri ke Balai Polis setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati mangsa. Kes disebut semula pada 14 Jun depan.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!