'Ibadah haji & umrah tak wajar dikompromi demi politik' - Timb. Menteri Agama | The Reporter

‘Ibadah haji & umrah tak wajar dikompromi demi politik’ – Timb. Menteri Agama

Gambar hiasan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang
Dr. Zulkifli Hasan beri teguran terhadap kenyataan yang utamakan politik berbanding ibadah, dikaitkan dengan Presiden PAS.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, menegaskan bahawa ibadah haji dan umrah tidak sepatutnya dikompromi atau diketepikan demi kepentingan politik kepartian.

Beliau mengingatkan bahawa menunaikan haji adalah rukun Islam yang wajib bagi mereka yang mampu, manakala umrah adalah ibadah sunat yang sangat digalakkan. 

Kenyataan ini dibuat susulan tularnya dakwaan bahawa kemenangan politik lebih utama berbanding menunaikan haji dan umrah oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. 

Dr. Zulkifli menegaskan bahawa sesiapa yang telah terpilih sebagai tetamu Allah (Dhuyufur Rahman) untuk menunaikan haji harus menyambut seruan itu dengan penuh keikhlasan dan rasa syukur.

Tiada sebarang fatwa rasmi

Beliau juga menekankan bahawa setakat ini tiada sebarang fatwa rasmi yang menyokong pandangan bahawa perjuangan politik harus diutamakan berbanding ibadah haji dan umrah. 

Sebaliknya, beliau memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian boleh membawa kepada pemikiran ekstrem, fanatik dan salah tafsir terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Dr. Zulkifli turut menasihatkan agar umat Islam merancang perjalanan umrah dengan sebaiknya, memandangkan ia adalah ibadah yang fleksibel dan boleh diatur mengikut keperluan serta kesesuaian masa. 

Namun, beliau menegaskan bahawa ibadah haji, sebagai rukun Islam, tidak wajar ditangguhkan tanpa alasan yang kukuh.

Beliau juga menekankan bahawa fatwa perlu bebas daripada kepentingan politik kepartian dan dibuat dengan penuh amanah serta pertimbangan kesan jangka panjang. 

Fatwa yang dikeluarkan tanpa penelitian mendalam boleh menimbulkan kekeliruan dan membawa kepada pemikiran ekstrem dalam kalangan masyarakat.

Dr. Zulkifli, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Agama pada Disember 2023, merupakan seorang akademik berpengalaman dengan latar belakang dalam bidang syariah dan undang-undang. Beliau pernah berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Timbalan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru umat Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, yang sentiasa menyatukan umat di atas titik akidah yang menyuburkan kedamaian, persaudaraan dan perpaduan.

Sumber : Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan

Related Posts