Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pelakon Rozita Che Wan diminta untuk berhubung dan berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung bayaran pinjaman hampir RM1 juta yang dibuat oleh syarikat milik selebriti itu.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan bahawa prosedur pemfailan kebankrapan terhadap Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta diteruskan setelah kegagalan melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun.
“Ini bukan tindakan mahkamah kali pertama dikenakan terhadap Che Ta. Ini sudah kali kedua. Yang paling penting sekarang, datanglah kepada MARA dan berbincang.
“Paling utama juga, pelakon itu perlu bayar balik pinjaman yang dibuat, kerana hutang ini telah berlarutan sejak tahun 2017,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa tindakan kebankrapan ini hanya akan dihentikan sekiranya Rozita melangsaikan keseluruhan hutangnya.
Beliau juga memaklumkan MARA juga tidak lagi memberikan lanjutan tempoh pembayaran selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.
Difahamkan, sehingga kini pelakon berusia 51 tahun itu masih belum tampil bertemu MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula bayaran pinjaman yang berjumlah RM960,000. Pinjaman tersebut dibuat melalui syarikat milik selebriti berkenaan, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Sumber: Harian Metro