Mahkamah Tinggi membatalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial, Chiok Wai Loong berhubung dakwaan komen jelik isu stoking kalimah Allah.
Hakim, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan berkenaan setelah membenarkan semakan difailkan tertuduh, supaya pengakuan bersalah dibuatnya atas pertuduhan berkenaan, bukan akuan jelas dan tanpa bersyarat.
Menurutnya, selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap sabitan dan hukuman itu.
“Pertuduhan terhadapnya begitu panjang, bagaimana anda (pendakwaan dan mahkamah) mengharapkan orang awam seperti dia untuk memahami, selain dia juga tidak diwakili peguam pada hari itu.
“Susulan itu, tertuduh perlu dipertuduhkan semula di Mahkamah Sesyen di hadapan hakim berlainan segera mungkin,” katanya.
Terdahulu, lelaki berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka setelah membuat hantaran jelik berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
Pada 22 Mac lalu, Hakim, Suzana Hussin menjatuhi Wai Loong hukuman itu, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, melalui perkhidmatan aplikasi Facebook, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian








