Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa negeri dengan tahap amaran berbeza.
Amaran ini dikeluarkan pada jam 1:00 tengah hari, Rabu, 27 November 2024, dan dijangka berlanjutan sehingga Jumaat, 29 November 2024.
Menurut kenyataan MetMalaysia, tahap bahaya melibatkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, serta Pahang (Jerantut dan Kuantan).
Sementara itu, hujan lebat berterusan dengan tahap buruk diramalkan di Perlis, Kedah (termasuk Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling), Perak (Hulu Perak), dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan, dan Rompin).
Manakala, kawasan yang berada pada tahap waspada termasuk Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim, dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, dan Kampar), Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, dan Bera), Johor (Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi), serta Sabah (Sandakan, termasuk Telupid, Beluran, Sandakan, dan Kudat).
MetMalaysia menggesa penduduk di kawasan terjejas agar berjaga-jaga terhadap risiko banjir, tanah runtuh, dan lain-lain bencana yang mungkin berlaku. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.








