Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) menafikan beberapa dakwaan tular yang tersebar melalui media sosial dan juga artikel berita yang disiarkan sebuah akhbar berita tempatan berbahasa Inggeris.
Dalam kenyataan rasmi, HIAZ memaklumkan bahawa penjelasan itu dibuat bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang timbul, sekali gus memperbetulkan fakta yang dianggap boleh menjejaskan reputasi hospital berkenaan. Hospital tersebut yang telah beroperasi sejak tahun 1997 telah memberikan perkhidmatan kepada ratusan ribu pesakit sepanjang tempoh 28 tahun, melalui pelbagai fasa perubahan dan pembaharuan.
Menurut HIAZ, isu yang dibangkitkan oleh dakwaan berkenaan berpunca daripada kejadian lama yang berlaku pada tahun 2003, iaitu lebih dua dekad lalu ketika hospital masih dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Malah, kes berkenaan hanya dibawa ke mahkamah oleh pihak pengadu pada tahun 2018, iaitu 15 tahun selepas insiden berlaku.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
HIAZ menjelaskan bahawa berdasarkan rekod, wanita terbabit telah melahirkan seorang anak pada 14 Jun 2002, manakala kejadian berkaitan bayi yang dimaksudkan berlaku pada 26 Februari 2003, menunjukkan dua kelahiran dalam tempoh sembilan bulan.
“Bayi kedua telah dibawa ke hospital dalam keadaan pra-matang sekitar minggu ke-26 usia kandungan (enam bulan setengah). Pakar yang merawat telah menjalankan rawatan sewajarnya dan seterusnya merujuk ibu tersebut ke Hospital Putrajaya. Bayi itu kemudiannya dilahirkan di Hospital Putrajaya, bukan di HIAZ, seperti yang telah disalahertikan oleh sesetengah pihak,” jelasnya.
Insiden terkait dengan pengurusan lama
Hospital turut menekankan bahawa kejadian berkenaan berlaku di bawah pengurusan lama.
“Kini, HIAZ telah beralih kepada pentadbiran baharu yang lebih komited dan profesional dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Pihak pengurusan terdahulu sedang berusaha menyelesaikan tuntutan penghakiman yang masih belum selesai. Difahamkan juga, sebahagian bayaran telah pun dibuat bagi tujuan itu,”katanya.
Sehubungan itu, HIAZ menjelaskan bahawa isu berbangkit hanyalah berkaitan jumlah hutang yang belum dilangsaikan, dan bukannya berkaitan dengan operasi harian hospital yang kini dikendalikan oleh pengurusan baru.
Hospital turut menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap proses penyitaan yang dijalankan oleh pihak peguam penuntut kerana dipercayai berlaku kekhilafan dalam prosedur tersebut.
Nafi dakwaan diarah bayar RM8.3juta
HIAZ turut menafikan laporan yang mendakwa mereka diarahkan membayar RM8.3 juta dalam tempoh 14 hari. Hospital menjelaskan bahawa kes berkenaan masih berada dalam proses undang-undang dan belum muktamad.
“Menerusi laporan media juga cuba mengheret YB Menteri Kesihatan dalam isu ini dengan menyatakan seolah-olah beliau telah mengeluarkan arahan memindahkan pesakit daripada hospital, sehingga menimbulkan kekeliruan awam,” tulis kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, HIAZ juga memaklumkan telah menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memberikan penjelasan lanjut dan memastikan pihak berkuasa menerima maklumat sebenar mengenai situasi ini.








