Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki menarik perhatian ramai apabila memuat naik video membersihkan laluan pelajar di beberapa buah sekolah sekitar Kota Bharu, Kelantan.
Keadaan laluan berkenaan sebelum ini dipenuhi semak samun dan pokok menjalar sehingga menyukarkan perjalanan orang ramai, khususnya pelajar sekolah, malah boleh mengundang bahaya jika dibiarkan.
Prihatin dengan situasi itu, lelaki berkenaan yang menggunakan akaun TikTok Hiyaz Community mengambil inisiatif membersihkan semak dan pokok kecil yang menutupi laluan.
“Laluan ini sepatutnya menghubungkan orang ramai, terutama pelajar sekolah. Tapi bila diselimuti semak dan anak pokok, pelajar jadi takut nak lalu.
“Kelewatan untuk cakna menyebabkan hari demi hari ribuan pelajar sekolah dan OKU penglihatan menjadi mangsa dan hilang kemudahan,” katanya menerusi video berkenaan.
Baca juga:
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
Tambahnya lagi, tindakan kecil itu dilakukan kerana mahu memastikan generasi akan datang tidak menanggung kesusahan yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Kalau dulu kita terpaksa redah semak ke sekolah, hari ini kita pastikan anak-anak lain tak lalui nasib sama. Itulah erti kemerdekaan,” ujarnya.
Inisiatif berkenaan mendapat pujian orang ramai di media sosial yang menyifatkan tindakan tersebut wajar dicontohi, selain menggesa pihak berwajib lebih proaktif memantau laluan awam demi keselamatan pengguna.








