Hari pertama di pusat asuhan, bayi tiga bulan dilaporkan meninggal dunia - The Reporter

Hari pertama di pusat asuhan, bayi tiga bulan dilaporkan meninggal dunia

Gambar hiasan (A.I)

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dilaporkan meninggal dunia, dipercayai tersedak susu pada hari pertama dihantar ke sebuah pusat asuhan.

Menurut datuk kepada mangsa, keluarga mereka dihubungi oleh pengurusan pusat jagaan tersebut memaklumkan cucunya disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke klinik berdekatan.

Datuk mangsa juga menyatakan ini merupakan kali pertama cucunya dihantar ke pusat asuhan yang terletak di Setia Alam itu.

“Cucu saya dihantar pukul 8.30 pagi ke rumah pengasuh itu sebelum anak saya dan isterinya pergi ke tempat kerja di Subang dan Setia Alam.

“Dalam pukul 10.30 pagi, pengasuh tersebut buat panggilan telefon memaklumkan cucu saya tidak sedarkan diri mungkin sebab tersedak susu,” katanya.

Tidak sedarkan diri

Dalam pada itu datuk mangsa yang dikenali sebagai Kuswadinata menyatakan pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati cucunya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 9.40 pagi selain dibiarkan dalam keadaan meniarap sekitar 20 minit.

Namun begitu, rakaman video bagi sekitar pukul 10 pagi dan ke atas tiada dalam simpanan pusat asuhan tersebut atas alasan yang tidak diketahui.

Kuswadinata turut mempersoalkan tindakan pihak pengurusan tersebut yang tidak memaklumkan kepada mereka terlebih awal kejadian itu. Walaupun pihak berkenaan dikatakan sudah membuat permohonan maaf, tetapi bagi keluarganya sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak kerana kecuaian/pengabaian oleh pengasuh,” katanya.

Sumber: Kosmo Online

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!