'Hancur luluh hati kami melihat Paijang diperlakukan macam tu' - Sahabat mangsa | The Reporter

‘Hancur luluh hati kami melihat Paijang diperlakukan macam tu’ – Sahabat mangsa

Hancur luluh hati kami melihat Paijang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kes seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul di tapak pasar tani di Kemaman terus mendapat perhatian ramai. Terbaharu, sahabat mangsa, Engku Fadzil, yang mewakili kumpulan rakan sekelasnya dari SMKA Sheikh Abdul Malek (SHAMS95), mendedahkan keadaan mangsa dan latar belakangnya menerusi satu hantaran di Facebook.

“Paijang adalah rakan sekolah kami di SHAMS. Dia seorang yang kami hormati dan dikenali ramai kerana aktif dalam sukan hoki. Namun selepas SPM, dia diuji dengan gangguan mental. Keadaan dia berubah-ubah, ada masa stabil, ada masa tidak,” tulisnya.

“Dia seorang yang sangat ceria dan suka bergurau. Setahu kami, dia tidak pernah bertindak ganas, cuma mulut dia kadang-kadang bising,” tambahnya.

Engku Fadzil turut menjelaskan bagaimana kejadian itu bermula. “Dalam video yang tular, Paijang dilihat bertanya dengan marah, ‘Siapa terajang aku?’ kerana dia sendiri tidak faham kenapa kejadian itu berlaku.”

“Lebih menyedihkan, mereka tahu Paijang adalah OKU, tetapi masih sanggup bertindak sedemikian. Dalam salah satu video, jelas kedengaran seorang lelaki berbaju hitam cuba menghentikan kejadian itu dengan berkata, ‘Dia tak siuman, kalau kamu pukul orang tak siuman, kamu juga tak siuman.’ Tetapi mereka tetap terus memukulnya,” tulisnya.

“Dia ditendang oleh lelaki berbaju belang, kemudian seorang lelaki lain dengan baju hujan hitam muncul entah dari mana dan menumbuknya. Malah, ketika dia meminta air untuk mencuci muka, dia langsung tidak dilayan.”

Engku Fadzil turut mempersoalkan tindakan seorang individu berbaju merah yang terus menyepak mangsa walaupun Paijang jelas berada dalam keadaan lemah. “Bagaimana seorang manusia boleh bertindak sebegitu? Ini sangat memalukan, bukan sahaja untuk agama Islam tetapi juga untuk bangsa kita.”

Beliau turut menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa. “Kami dari kumpulan SHAMS95 sangat berharap pelaku yang terlibat mendapat balasan setimpal. Semoga polis dapat memberikan keadilan kepada Paijang.”

Mangsa kini ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan penilaian lanjut.

Terdahulu, insiden ini menjadi tular selepas video berdurasi hampir dua minit memaparkan seorang lelaki OKU dipukul dan diheret di tapak jualan pasar tani di Kemaman. Kejadian itu dipercayai berlaku selepas motosikalnya secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai akibat ditendang oleh seseorang.

Related Posts