Guru wanita jalin hubungan sulit dengan suami orang 'direhatkan' sementara - Fadhlina | The Reporter

Guru wanita jalin hubungan sulit dengan suami orang ‘direhatkan’ sementara – Fadhlina

Fadhlina Sidek ulas tindakan KPM terhadap guru wanita terpalit isu hubungan sulit
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggantung sementara tugas pengajaran seorang guru wanita susulan pendedahan tular tentang dakwaan hubungan sulitnya dengan seorang juruteknik pendawaian, walaupun kedua-duanya telah berkahwin.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, langkah ‘merehatkan’ guru terbabit daripada mengajar diambil sebagai langkah awal agar siasatan dalaman dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan.

“Saya ingin memberikan jaminan kepada semua pihak apabila perkara-perkara yang terkait rapat dengan integriti guru dan akhlak guru, KPM mengambilnya secara serius,” katanya memetik laporan dari Bernama.

Fadhlina menjelaskan, meskipun guru berkenaan tidak lagi mengendalikan kelas buat masa ini, guru berkenaan masih melaksanakan tugasan lain sebagai penjawat awam. Katanya, tanggungjawab KPM bukan sahaja dalam soal pendidikan, tetapi juga memastikan imej guru kekal dihormati.

“Warga pendidik adalah cerminan kepada nilai dan moral masyarakat. Jadi, kita sentiasa ingatkan bahawa tingkah laku mereka di luar juga turut menjadi perhatian,” tambahnya lagi.

KPM turut menegaskan komitmen mereka untuk mendidik dan membimbing para guru agar terus berpegang teguh kepada etika dan disiplin profesional, terutama dalam era di mana tindakan peribadi boleh tersebar luas di media sosial dalam sekelip mata.

Terdahulu, satu rakaman tular mendakwa guru tersebut menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki yang menawarkan khidmat pemasangan CCTV dan pendawaian rumah. Netizen menzahirkan rasa terkejut apabila mendapati kedua-dua individu sudah berumahtangga.

Related Posts