Jawa Timur, Indonesia – Minggu lalu, seorang guru bahasa inggeris di sebuah sekolah menengah di Lamongan bertindak menampar pelajarnya kerana berang tidak dipanggil ‘cikgu’.
Kejadian itu berlaku di dalam kelas sambil disaksikan oleh para pelajar lain. Malah, pelajar itu dimarahi dan ditampar beberapa kali kerana bersikap biadap.
Menurut laporan Abata News, kejadian itu berlaku pada 24 September lalu dan video kejadian tersebut turut tular di media sosial.
Ramai yang menyokong tindakan guru tersebut kerana kebanyakan pelajar pada zaman ini bersikap biadap dan tidak menghormati guru.
Ketua Jabatan Pendidikan Lamongan, Munif Syarif berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan guru terbabit akan dikenakan tindakan disiplin.
Jelas Munif, mana-mana guru tidak dibenarkan melakukan sebarang kekerasan terhadap pelajar walau apa pun jua alasannya.
Guru wanita tersebut telah digantung kerja buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Guru tampil mohon maaf
Sehari selepas kejadian, guru berkenaan telah tampil memohon maaf di atas tindakannya dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh Jabatan Pendidikan bersama pelajar dan kedua ibu bapanya.
Munif yang turut serta dalam pertemuan itu menjadi saksi kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk berdamai. Malah guru wanita tersebut juga memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu.
Walaupun kesitu dianggap selesai, Munif menegaskan guru itu akan tetap dikenakan tindakan disiplin dan masih dalam status digantung kerja buat sementara waktu. – Agensi