Ada sesetengah peniaga dilihat menggunakan sarung tangan ketika mengendalikan makanan. Bagi mereka dengan memakai sarung tangan, makanan atau peralatan dapur tidak akan tercemar.
Satu video tular merakamkan seorang peniaga memakai sarung tangan berwarna kuning ketika menggaul makanan. Peniaga wanita tersebut yang pernah tular dengan harga telur dadar Thai berkongsikan resepi air asam Siam sambil menunjukkan cara-cara membuatnya.
Kelihatan juga, dia telah menyentuh pelbagai peralatan lain sebelum menggaul adunan air asam tersebut. Tindakan peniaga berkenaan telah mengundang persoalan ramai.
Di ruangan komen di TikTok, seorang Inspektor Kesihatan menegur peniaga berkenaan yang tidak menggunakan sarung tangan yang sesuai dan tidak memakai apron. Namun begitu, jawapan yang diberikan oleh peniaga berkenaan hanyalah meminta Inspektor Kesihatan untuk datang melawat ke kilangnya.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu ciapan menyatakan penggunaan sarung tangan kuning tidak sesuai untuk pengendalian makanan.
“KKM ingin memaklumkan penggunaan sarung tangan berwarna kuning adalah untuk pencucian dan tidak sesuai untuk pengendalian makanan.
“Sarung tangan jenis nitrile (powder-free-glove) paling selamat untuk mengendalikan makanan kerana tidak meninggalkan sisa kotoran. Bagi mengelakkan pencemaran silang sarung tangan hendaklah dipakai untuk sekali guna sahaja,” tulisnya.
Menerusi hantaran terbaharu, usahawan berkenaan telah tampil memohon maaf dan menyatakan akan lebih peka ketika mengendalikan makanan.
“Dania mohon maaf atas kekhilafan Dania. Lepas ni Dania akan lebih alert dan akan tukar glove jenis Nitrile (powder-free-glove) untuk mengendalikan makanan seperti yang disarankan oleh KKM.
“Terima kasih KKM sebab tegur. Semoga saya dan semua dapat pengajaran dari isu ini,” katanya.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia