Seperti menjadi trend terkini, usahawan, pelabur atau pempengaruh seolah wajib menayangkan segala aset kekayaan termasuk lah wang tunai.
Berkemungkinan juga salah satu strategi untuk menarik minat orang ramai menyertai bisnes mereka.
Beberapa hari lalu tular video sekumpulan lelaki yang dipercayai merupakan trader (pelabur saham) mengajak orang ramai untuk menyertai cara untuk menjana pendapatan sebanyak RM1 juta dalam tempoh yang singkat iaitu, hanya enam bulan.
Menerusi video tersebut, dirakamkan seorang lelaki menaiki sebuah jet peribadi untuk ke Pulau Pinang bagi menghadiri sebuah program disana. Turut mengiringi, rakan-rakannya yang memiliki kereta mewah.
Di dalam pesawat itu pula, mereka seolah berbincang mengenai strategi pelaburan sambil menunjukkan sejumlah wang tunai.
Bagaimanapun, video tersebut mendapat kecaman ramai yang menganggap situasi tersebut hanyalah lakonan geng trader semata-mata sekadar mahu menarik perhatian.
Video tersebut juga menarik perhatian seorang juruterbang yang mendedahkan pesawat tersebut tidak terbang ke udara sebaliknya hanya berlegar di kawasan landasan.
“Abang nak periksa kapal ni, kita usha dekat flight radar. N888FJ, berjuta-juta kapal ni. Penerbangan terakhir 21 Februari eh. Jumpa kat Penang,” katanya.
Selain daripada itu ada juga yang mempersoalkan kewujudan penghawa dingin (portable aircond) yang diletakkan di pintu masuk pesawat itu.
Sumber: TikTok








